Jan 29, 2014

Pelajar Autisme dari Dubai Ingin Pecah 3 Rekod Dunia


Foto
Mendes,pelajar Autisme


Dubai: Walaupun menghidap autisme Johann Mendes tetap istimewa kerana mampu mengingati tarikh lahir hampir semua rakan sekelas, guru dan kakitangan sekolahnya.
Dengan kelebihan itu Mendes sedang membuat persediaan mencatat nama dalam Buku Rekod Guinness bagi membuktikan penghidap autisme juga mampu melakar kejayaan besar.
Menariknya, Mendes mahu memecahkan rekod dalam tiga kategori sekali gus - paling banyak mengingati tarikh lahir, bendera negara dan ibu negara dalam tempoh seminit.

Ibunya, Judy berkata, kelebihan Mendes disedari sejak dia berusia enam tahun.
“Mendes sangat tertarik kepada kalendar dan menghabiskan masa dengan membaca, melukis dan menyalin tarikh yang ada,” katanya.
Di peringkat awal, kata Judy, dia tidak memberi banyak perhatian kepada hobi Mendes sehinggalah pada satu hari bapa saudara remaja terbabit mula bertanya tarikh lahir keluarga mereka.
“Kami semua terkejut kerana Mendes menyebut tarikh lahir itu dengan betul,” katanya.